“Rasa tak tercapai dek akal, alhamdulillah.” Itu reaksi awal Naim Daniel apabila lagu Sumpah hasil ciptaan sepenuhnya dari dirinya sendiri dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.

Berjaya mengetepikan saingan dari 11 buah lagu yang bertanding, bintang berusia 23 tahun ini akui saingan yang hadir cukup sengit dan masing-masing mempunyai kekuatan sendiri.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai lagu  terbabit yang sebelum ini disebut-sebut mempunyai harapan cerah untuk menang, Naim tidak menafikan wujudnya tekanan.

”Saya ada tengok satu status di Twitter dalam jam 3 lebih, Neelofa dan Syafiq Kyle ada jangka lagu Sumpah, korang ni…

“Jadi tekanan itu memang ada akan tetapi saya merasakan ia bagus untuk kita rasa gementar kerana itu boleh buatkan kita tahu yang kita ‘hidup’. Cuma kena halakan tekanan itu kepada sesuatu yang betul.

“Jadi bila naik pentas, saya rasa inilah masa untuk saya buat persembahan, tanggungjawab saya adalah untuk menghiburkan penonton di luar sana.

”Saya tidak rasa malam ini adalah persembahan saya, tapi ia adalah persembahan kepada semua yang berikan sokongan. Lepas tu rasa lega, turun je nangis,” jelas Naim.

Ditanya mengapa menitiskan air mata, pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin ini menyifatkan diirinya masih tidak percaya kerana berpeluang untuk bersama-sama bersaing di pentas berskala besar seperti AJL.

“Tak percaya untuk berada di sini sebab kebanyakan yang bertanding adalah alumni juara, yang sudah bertanding banyak kali.

“Jadi untuk berada dalam barisan orang-orang hebat ini, kita rasa selama ini untuk mempunyai satu karya yang diangkat itu begitu seronok rasa dia.

“Malah, ia menjadi satu macam semangat untuk lebih berkarya pada masa depan dengan lebih baik dan lebih banyak material baru insyAllah,” jelasnya optimis.

Selain Sumpah yang diangkat sebegai juara utama, anugerah muzik tahunan edisi kali ini turut menyaksikan lagu Jatuh Bangun dendangan Aman Ra diumumkan sebagai pemenang kedua.

Anta Permana yang dibawa Bob Yusof yang turut menampilkan penyanyi asalnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza di kedudukan ketiga.

Sementara itu, persembahan sarat emosi cinta dari Hafiz Suip menerusi lagu Kisah Cinta Kita pula berjaya memenangi kategori Vokal dan Persembahan Terbaik.

Sumpah merupakan lagu hasil ciptaanya sendiri bersama Omar K.

Ikuti temubual penuhnya di sini;

Foto: Instagram TV3 Malaysia