“Dia seorang pemurah dan baik hati.” Itu antara pujian Ustaz Ahmad Saiful Habib, selaku pengurus Yayasan Yatim Daarul Rahman kepada Allahyarham Ashraf Sinclair. 

Menerusi video Beepdo, Ustaz Ahmad berkongsi sifat mulia Ashraf ketika hayatnya yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada rumah anak yatim seramai 78 orang. 

“Dia (Allahyarham Ashraf) mempunyai akhlak yang baik seperti yang telah diajar kedua orang tuanya. Dia seorang yang baik dan pemurah. 

“Dia melakukan amal dan memberikan amal tanpa menceritakan kepada sesiapa,” kongsinya. 

Dalam pada itu, Ashraf sempat berpesan kepada Ustaz Ahmad agar kebaikannya itu tidak perlu dihebohkan. 

“Malah, dia berpesan pada saya agar kebaikan dia tidak perlu diketahui orang ramai.

“Dia selalu datang sendirian ke sini (rumah anak yatim) dan saya tak pernah lihat dia mengajak sesiapa,” katanya.

Ustaz Ahmad turut berkongsi pengalamannya saat memandikan jenazah Ashraf.

“Saya sentiasa terbayang wajahnya, apatah lagi ketika saya mandikan jenazah, wajahnya tersenyum dan nampak tenang. 

“Malah, ketika itu saya tidak kuat,” ujarnya. 

Terdahulu, Ashraf, 40, meninggal dunia akibat serangan jantung. 

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan San Diego Hills, Karawangan, Jawa Barat. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Bunga Citra Lestari dan seorang anak, Noah Sinclair, 10 tahun.

Video : Youtube Beepdo