Berang dengan kenyataan yang dikeluarkan balu arwah Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali, Ali Puteh tampil memberikan penjelasan dan meminta agar semua tidak hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak sahaja.

Kenyataan ini dikeluarkan menerusi temubual berdurasi hampir 30 minit di laman Instagram Official Riax.

Jelas Ali, kenyataan yang didakwa Hidayah boleh menimbulkan fitnah sehingga dia dan keluarga dicemuh dan dituduh ingin membolot harta arwah abangnya.

IKLAN

“Yang membangkitkan kemarahan saya adalah, sampai saya dihina. Kalau nak pergi berikan sumbangan, silakan. Tapi, bila balu arwah bercerita perkara yang tidak sepatutnya, itu menimbulkan fitnah sehingga ada yang menganggap saya dan keluarga ingin membolot harta arwah.

“Jangan dengar daripada sebelah pihak untuk elak fitnah berlaku. Ketika video temubual itu tular, saya sendiri pun tak tahu. Jadi, bila saya periksa, kami sekeluarga mendapat cemuhan.

“Itu sebabnya saya keluarkan perkataan (kasar) sebegitu. Kalau orang luar tahu perkara sebenar yang berlaku, mesti mereka akan lebih marah daripada saya,” katanya.

Pelawak ini turut menjelaskan mereka sekeluarga telah duduk berbincang dan memutuskan dia bertanggungjawab menguruskan harta pusaka arwah untuk difaraidkan.

Malah telefon bimbit dipegang semata-mata untuk menguruskan hutang piutang peninggalan arwah.

“Sejak hari kedua selepas arwah meninggal dunia, saya dah berbincang dengan isterinya untuk saya menguruskan hal-hal penting dan yang paling utama adalah mengenai hutang.

“Untuk isu telefon bimbit, saya yang menguruskan abang saya sebelum ini. Tujuan saya meminta telefon bimbit itu adalah kerana saya tahu banyak perkara berkaitan kerjanya ada di situ.

“Di situ juga saya dapat periksa kalau-kalau arwah ada sebarang hutang yang perlu dilangsaikan. Saya dan keluarga tak perlukan pun telefon itu kerana masing-masing, arwah dah belikan telefon bimbit,” katanya.

IKLAN

Malah isu dompet yang ditimbulkan, jelas Ali dia hanya ingin meminta maklumat ahli Seniman arwah namun timbul rasa hairan apabila kad bank dan wang tunai tiada bersama.

“Bila dicerita bahawa kami mengambil dompet milik Abam daripadanya, ia umpama satu benda besar. Sebenarnya, saya terima panggilan daripada seorang sahabat yang inginkan maklumat mengenai nombor keahlian Persatuan Seniman yang dianggotainya untuk menguruskan khairat kematian.

“Bila saya terima dompet itu, yang ada cuma kad-kad biasa, tanpa wang dan juga kad-kad bank. Jadi, bila saya tanya kepadanya, dia cakap tak ada duit dan arwah tak ada tinggalkan apa-apa.

“Mustahil kerana saya bersama arwah selama 31 tahun dan saya tahu abang saya memang sentiasa akan ada duit bersamanya. Saya pesan kepadanya, kalau termakan duit itu, itu kesilapan kerana belum faraid apa-apa.

“Dia juga pegang kad bank arwah. Saya tanya kenapa dia buat begitu sedangkan kita dah berbincang untuk saya uruskan semuanya. Kalau dia takut saya ambil duit dari akaun arwah, tak ada gunanya sebab kalau seseorang sudah meninggal, akaunnya akan disekat. Saya cuma nak kumpul semuanya untuk tujuan faraid,” katanya.

Terkilan apabila dituduh mengambil kereta arwah, jelas Ali kereta tersebut merupakan hutang arwah dan balu boleh mengambilnya andai mampu membayar bulanan di bank.

“Arwah ada dua kereta iaitu Toyota Vellfire dan Perodua Myvi. Vellfire itu saya dan arwah yang susun dan beli. Bila dia meninggal dunia, itu adalah hutang. Saya dah terangkan kepada isterinya mengenai amaun bayaran bulanan dan sekiranya dia mampu, dia boleh menyambung bayar.

“Saya pun dah ada banyak kereta. Buat apa saya nak ambil kereta itu? Satu lagi kereta adalah MyVi yang disambung bayar oleh arwah daripada pakcik kami. Sebelum arwah meninggal, dia ada meminta pakcik saya untuk kirakan berapa jumlah baki hutang.

“Dia juga meminta supaya bila dah selesai bayar, dia nak tukarkan nama pemilikan MyVi itu kepada isterinya. Benda itu pun saya dah terangkan kepada isterinya. Tapi, sementara itu saya yang bertanggungjawab menyusun semuanya supaya lebih mudah urusan selepas ini,” katanya.

Ali turut menafikan dakwaan Hidayah terpaksa membawa anak ke klinik menaiki Grab kerana dihalang menggunakan kereta.

“Hari keempat, dia bersama kedua ibu bapanya masih berada di rumah arwah bersama ibu saya. Saya pun berada di situ untuk menjaga ibu saya. Mustahil ada isu untuk membawa anak ke klinik kerana ibu saya yang memintanya membawa anak ke klinik kerana demam.

“Jadi, pemandu arwah membawa ibu saya dan anak arwah ke klinik dengan menaiki MyVi. Dari mana datangnya cerita dia terpaksa membawa anak ke klinik menaiki Grab? Mustahil saya tak izinkan dia bawa kereta,” katanya.

Mendakwa dihalau sehelai sepinggang, tegas Ali apa signifikan sehelai sepinggang andai kesemua barangan peribadi arwah bernilai ribuan ringgit turut dibawa keluar.

“Dia sendiri yang nak keluar dari rumah. Kalau mengikut hukum, tempoh edah adalah selama empat bulan 10 hari. Tapi, pada hari keenam, dia ambil keputusan untuk keluar bersama keluarganya.

“Saya beritahu dia bahawa esok adalah hari ketujuh arwah meninggal dunia dan nak diadakan majlis tahli. Saya tak tahu, mana isi hati dan keperibadian dia sebagai balu. Dia tetap nak balik pada petang Sabtu itu juga.

“Untuk isu sehelai sepinggang pula, itu mustahil kerana biliknya tak ada barang termasuklah wang-wang tabungan serta koleksi jam tangan mahal milik arwah. Semuanya dibawa bersama,” katanya.

Menafikan mahu membolot harta pusaka peninggalan arwah, jelas Ali sebagai orang Islam dia tahu hukum agama.

“Dalam hukum agama, walaupun harta yang ada cuma RM1, itu pun faraid. Faraid yang saya tahu, ada tiga bahagian. Satu perenam adalah untuk ibu, satu perlapan adalah untuk isteri dan selebihnya untuk waris lelaki. Jadi, saya dan adik beradik lain tak ada hak pun dalam kesemua harta arwah.

“Cumanya, persetujuan yang dibuat pada hari kedua adalah untuk saya membantu menyusun proses faraid itu supaya lebih mudah dan dia sendiri pun bersetuju,” katanya.

“Keluarga saya diajar untuk tidak mengambil hak orang lain. Walaupun kami bersama-sama bekerja di dalam industri, saya tak pernah ambil duit dia.

“Saya bersumpah dengan nama Allah, kalau saya bohong, cabutlah nyawa saya. Saya lagi rela mati daripada ibu saya dihina sebegini,” katanya.

Terdahulu, kontroversi isu harta peninggalan arwah Abam timbul selepas Datuk Seri Aliff Syukri berkunjung Hidayah bagi menghulurkan bantuan dan bertanyakan soalan sensitif.

Sumber : Instagram Ria X