Awal tahun lalu, pelakon, Fatin Afeefa mengunjungi Brazil bagi menghadiri program terbesar anjuran jenama selipar flip-flop popular dunia, Havaianas.

Hadir sebagai duta, Fatin mengakui banyak perkara baru yang dipelajarinya sewaktu berada di negara Latin terkenaan.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi dirinya apabila dia berjaya pulang ke tanah air sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya kuarantin 14 hari kemudian saya buat swab test dan keputusannya negatif.

“Kemudian saya kena kerja orang datang rumah untuk shoot dan saya kene tunggu lagi 14 hari untuk jumpa anak saya,” jelasnya.

Berkongsi mengenai situasi yang perlu dihadapi seluruh dunia ketika itu, bintang Tentang Bulan ini turut memberikan reaksi terhadap segelintir individu yang didapati senjaga melanggar perintah kuarantin.

IKLAN

Bagi ibu kepada dua anak ini, ia hanya sikap mementingkan diri sendiri yang akhirnya memberi kesan negatif.

“Saya sedar, ada yang mengambil sikap sambil lewa. Ia mementingkan diri namanya.

“Malah ketika saya lakukan ujian saringan COVID-19 dan keputusannya negatif, saya tetap ambil masa lama untuk berjumpa dengan anak-anak.

“Risau dan lebih baik untuk ambil langkah berjaga-jaga. Lagi pula, saya ada mak dan ayah di rumah dan mereka boleh tengok-tengokkan mereka.

“Saya rasa tak selamat kalau saya jumpa mereka sejurus pulang dari luar negara sebab kita tahu, sistem imunisasi kanak-kanak bukan seperti orang dewasa,” katanya kepada MH.

Dalam pada itu, pelakon drama, The Gadis itu turut mengakui dirinya sedikit-sebanyak mengalami gangguan emosi sewaktu menjalani tempoh kuarantin.

“Masa tu saya ‘sewel’ sekejap. Saya mentally disturb walaupun saya lazimnya sudah biasa hidup sendiri bersama kucing peliharaan.

“Minggu pertama tu saya boleh tahan lagi, akan tetapi, bila sudah masuk minggu seterusnya, saya dah mula cakap sorang sorang.

“Sampai saya minta kawan-kawan saya call hanya untuk bersembang. Walau mereka sibuk, saya tetap pujuk dan minta saling buat panggilan video.

“Kata orang, tak bercakap pun tidak mengapa asalkan mereka tengok saya,” seloroh Fatin.

Katanya lagi, dia turut berterima kasih kepada kedua orang tuanya yang memahami situasi tersebut.

“Saya dah tak berapa betul masa tu. Saya pernah hubungi anak-anak sampai nangis-nangis sebab rindu.

“Saya tak jumpa anak lebih kurang sebulan. Orang lain pun saya tak jumpa. Anak-anak saya ketika itu di bawah jagaan ibu.

“Ikutkan lepas saya balik Brazil mereka nak balik rumah, tapi saya tidak izinkan. Terpaksa tunggu lebih kurang 14 hari,” akhirinya.