Pelakon terkenal, Ayda Jebat tidak mahu menuding jari terhadap mana-mana pihak berikutan wujud dakwaan segelintir pihak yang berpandangan bahawa proses suntingan drama lakonannya, Bukan Gadis Biasa berada di tahap teruk.

Ayda sebaliknya tampil memohon maaf kepada semua penonton.

Katanya menerusi laporan Harian Metro, dia mengambil kelemahan tersebut atas kesilapannya sebagai pelakon.

Ini kerana baginya, sebagai satu pasukan dalam produksi, mereka perlu bekerjasama.

“Saya mohon maaf jika ada penonton yang kurang senang dengan perkara itu. Saya akui penonton sekarang semakin bijak dan boleh melihat sendiri kelemahan yang berlaku.

“Saya mohon jangan salahkan editor atau penyunting semata-mata kerana pada pendapat saya, semuanya harus bekerjasama.

IKLAN

“Saya salahkan diri sendiri. Kadang-kadang, sebagai pelakon, saya terlupa menjaga konti atau kesinambungan lakonan saya. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Kru yang menjaga konti juga mungkin terlepas pandang.

“Akhirnya, penyunting pun tak boleh nak buat apa dan mereka harus menyunting drama itu menggunakan visual sedia ada,” katanya seperti yang dipetik.

Menurutnya lagi, meski drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu terpalit beberapa isu, namun ia tetap menerima sambutan baik penonton.

“Alhamdulillah, drama bersiri ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila kekal trending setiap kali bersiaran.

“Saya bersyukur kerana masih ramai penonton yang mengambil mesej positif dalam drama bersiri ini untuk dijadikan teladan dan contoh.

“Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang kurang itu datang dari saya sendiri,” katanya lagi.

Terdahulu selain elemen suntingan, drama bersiri Bukan Gadis Biasa turut mendapat kritikan dari segi solekan kesan khas watak orang tua lakonan Sheila Rusly serta kenyataan pengarahnya, Jinggo yang mendapat perhatian netizen.

Selain Ayda dan Sheila, Bukan Cinta Biasa turut dibarisi pelakon seperti Remy Ishak, Nazim Othman, Ozlynn Watie, Mas Khan dan ramai lagi.

Drama berkenaan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3.

Sumber/Foto: Harian Metro/Instagram Ayda Jebat