Pengacara Iesya Toh berkongsi rakaman mendebarkan apabila seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengejar sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, anggota tersebut sedang menjalankan tugas kawalan lalulintas di Setapak sebelum kenderaan berkenaan memecut selepas melanggar lampu isyarat.

Video yang kini tular itu turut merakamkan das tembakan telah dilepaskan anggota terbabit ke arah tayar kenderaan berkenaan.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian hos dan personaliti televisyen, Eisya Toh dan ia turut dikongsikan menerusi satu entri di Instagram miliknya.

“@pdrmsia_official syabas!! Salute dgn keberanian anggota polis ini,” kongsinya.

IKLAN

Jelas Iesya di ruang komen, kejadian berlaku di pada 19 Mei lalu.

Memetik Sinar Harian, anggota tersebut melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah kereta jenis Nissan Teana dengan niat untuk mempertahankan diri.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya seperti yang dipetik menjelaskan, dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, anggota berkenaan sedang bertugas di Jalan Genting Klang susur Jalan Air Panas sebelum mengesan kenderaan yang dinaiki dua lelaki yang melanggar lampu isyarat.

“Anggota terbabit cuba menahan kereta tersebut namun pemandunya tidak mahu berhenti dan terus memecut laju menghala ke Jalan Gombak.

“Anggota JSPT telah mengekori kereta yang dinaiki suspek kemudian kereta itu cuba menghimpitnya. Kereta itu juga telah melanggar beberapa buah kenderaan di Jalan Gombak menuju ke Kampung Padang Balang,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Zulkefly berkata, keadaan lalu lintas di kawasan itu agak sesak, anggota terbabit telah memberhentikan motosikalnya di tepi jalan dan cuba mengejar serta menahan kereta itu.

“Anggota terbabit juga terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta berkenaan namun kereta itu masih memecut laju sehingga memasuki Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE),” katanya.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki suspek telah terbabas dan tersangkut di penghadang tengah lebuh raya berkenaan.

“Suspek telah melarikan diri dan polis telah menjumpai satu peket plastik dipercayai dadah jenis syabu dalam kereta itu.

“Polis masih mengesan suspek, kereta tersebut dipercayai milik seorang wanita yang beralamat di Senai, Johor,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Foto : Instagram Iesya Toh