Selepas 12 tahun tidak mengeluarkan lagu baru, Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil bakal melancarkan single berjudul Apo pada 17 Julai depan.

Single yang berkisarkan buli siber itu hasil ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay manakala liriknya pula cetusan idea Pak Nil sendiri.

Ia diterbitkan atas inisiatif sendiri menerusi paksi tanggungjawab sosial Yayasan Pesona (milik Pak Nik) bersama Scifi Record dan Sony Music.

Istimewanya lagu yang sepatutnya dilancarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ini turut memuatkan lirik nama akaun Twitter Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di bawah nama Che Minah Sayang yang pernah digunakan Baginda sebelum ini.

Malah keizinan kepada perkara itu turut diminta Pak Nil sendiri kepada Raja Permaisuri Agong pada 4 Jun lalu.

“Saya ada bermesej dengan Raja Permaisuri Agong di Instagram dan ada maklumkan hal meletakkan nama akaun Twitter Baginda dulu dalam lirik lagu ini. Saya mahu minta perkenan Raja Permaisuri Agong.

IKLAN

“Selepas mendapat balasan nombor untuk dihubungi, saya menelefon Raja Permaisuri Agong. Malah ia turut dilakukan dengan cara protokol menulis surat dan memohon perkenan dalam Istana Negara. Alhamdulillah Raja Permaisuri Agong sendiri secara peribadi mengizinkannya.

“Saya sendiri punyalah gementar sampai menggigil gigil sebab nak bercakap dengan Baginda dalam telefon. Bayangkan boleh kejap tersasul  bahasakan diri sebagai patik… kejap saya,” katanya dalam sesi pradengar santai lagi Apo baru baru ini.

Tambah pemenang 10 kali trofi kategori Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular itu lagi, dia juga bercita-cita mahu mendapatkan rakaman suara Baginda di dalam lagu berkenaan.

“Kalau dapat perkenan guna rakaman suara Raja Permaisuri Agong untuk diselit dalam lagu ini, lagilah saya akan rasa beruntung. Namun saya tahu hal seperti ini bukan mudah kerana membabitkan banyak protokol.

“Malah andai dapat Raja Permaisuri Agong  mencemar duli hadir melancarkan lagu ini pada bulan depan bertambah istimewalah jadinya. Kalau sebelum ini, dapat bercakap terus dengan Baginda menerusi telefon bimbit pun sudah rasa kaki tak cecah tanah.

“Bayangkan kalau Raja Permaisuri Agong hadir di hari pelancaran, rasa seperti lutut tak cecah tanahlah kiranya,” katanya.

Paknil yang pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (Kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat) berkata single itu dihasilkan bukan untuk berentap dengan sesiapa apatah lagi dipertandingkan dalam pertandingan.

“Single ini tak saya anggap sebagai comeback dalam dunia nyanyian. Saya bukan penyanyi serius. Saya penyanyi yang ‘fun’ dan santai. Lagu ini lahir lebih kepada tanggungjawab.

“Tambahan pula hal buli siber ini terus bermaharajela hingga kini apabila dunia media sosial tiada kawalan.

“Warganet dan juga wira papan kekunci bebas melontarkan kata kata nista dan kecaman. Begitu juga hal seperti ejekan tubuh, rasis, mempersenda agama, politik dan macam macam lagi.

“InsyaAllah saya juga berharap lagu ini dapat membuka mata mana mana agensi berkaitan atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat isu buli siber,” katanya yang mengambil masa lapan jam untuk menyiapkan lirik lagu berkenaan.

Terdahulu, Pak Nil pernah muncul dengan dua album bersama Pony Canyon dan KRU Music, selain pernah menulis lirik untuk penyanyi seperti A to Z, Amy Mastura, Min Malik dan Kool.