Penyanyi senior, To’ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur kini mendiami pondok kecil yang terletak di pinggir hutan di Batu 12 Gombak, Selangor lebih setahun lalu bersama isteri tercinta.

Memetik Astro Awani, penyanyi yang sinonim menerusi lagu Seni Berzaman itu telah pun membina pondok berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Tidak pernah mengeluh, jauh sekali menyesali ketentuan takdir, bintang berusia 53 tahun itu yang setia ditemani isteri, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, bersyukur kerana masih memiliki tempat untuk berteduh.

“Saya bina pondok ini sejak tiga tahun lalu lagi sebenarnya (tetapi) duduk sini dalam setahun lebih.

“Walaupun nampak macam ini (serba kekurangan) tetapi saya damai bersama isteri,” kata To’ki seperti yang dipetik.

Katanya lagi, biar apa sekalipun persepsi masyarakat terhadap kehidupan serba kekurangannya, namun, teratak kecil ini saling tidak ubuah sebuah ‘syurga’ buat dia dan isteri.

Malah, ia turut memiliki makna sentimental kerana ia adalah hasil kerja tangannya sendiri selain menjadi ruang mencari ilham dalam berkarya.

IKLAN

Sekalipun menyedari iklim industri muzik tanah air tidak begitu memberangsangkan, namun, aspirasi To’ki dalam berkarya tidak pernah pudar

To’ki pada masa sama berazam untuk kembali bangkit meski harus berhadapan dengan cabaran.

Sebetulnya, To’ki tidak begitu gemar untuk terlalu terbuka bercerita mengenai kesulitan hidup yang dilaluinya kerana enggan orang ramai berprasangka.

Sebaliknya, dia lebih senang berkongsi idea dan hasratnya untuk kembali ke industri muzik tanah air untuk memperbaiki taraf kehidupannya itu.

Namun begitu, To’ki mengakui kediaman yang diduduki itu sangat tidak sempurna dan perlu ditambah baik.

Bagaimanapun, untuk mengubahsuai pondok itu, ia memerlukan kos dan semua itu di luar kemampuannya.

Bahkan, bekalan air harus diangkut sendiri oleh To’ki dari sungai berdekatan selain untuk menyelesaikan ‘hajat’ juga terpaksa ke sungai memandangkan pondok kediaman terbabit tidak mempunyai tandas.

“Nak buat macam mana ini sahaja yang termampu,” luahnya.

To’ki turut diuji apabila pergerakan isterinya terbatas kerana mengalami patah tulang pinggul akibat kemalangan yang dialaminya 10 Jun lalu.

“Paling sukar bila tiap kali nak turun atau naik sebab (tanah) curam. Kalau saya naik kerusi roda sekurang-kurangnya perlu tiga orang (untuk bantu) tolak.

“Memang sukar keadaan masa ini, namun saya dan To’ki terima nasib kami. Saya kena sesuaikan diri saya. Itu sahaja yang kami mampu,” kata isterinya.

Sementara itu jelas To’ki, sekiranya ada rezeki, dia mahu mengusahakan pemasangan paip bagi membolehkan bekalan air dipam dari sungai berdekatan ke kediamannya bagi memudahkan urusan kehidupan harian.

“Kalau ada bajet saya nak tarik (pam) air dari sungai ke sini (kediaman) selain tangki air dan tandas, selagi tidak ada semua itu, kami terpaksa turun (ke sungai),” katanya yang turut akui pendapatan kini bergantung kepada jemputan menyanyi di restoran atau majlis-majlis kecil sahaja.

Wawancara bersamanya juga turut boleh ditonton menerusi Astro Awani.

Sumber/Foto: Astro Awani