Primadona Erra Fazira tidak menafikan dirinya masih berhubung dan menjalin hubungan baik dengan penyanyi yang juga juara program Akademi Fantisia musim ke-8, Shahir Zawawi.

Bagaimanapun pelakon filem Wangi ini menjelaskan, hubungan di antara mereka sekadar berkawan biasa saja.

“Kita masih berhubung. Misalnya kalau ada masa untuk bermain badminton dan sebagainya.

“Cuma mungkin bezanya kini adalah sekian lama tidak berjumpa. Kalau jumpa pun, hanyalah sekali-sekala. Macam itu saja.

“Statusnya berkawan biasa,” jelasnya kepada MH.

Sementara itu ketika ditanya mengenai jodoh dan perkahwinan, ibu tunggal beranak satu ini mengakui terbuka untuk sekali lagi melayari bahtera perjahwinan.

Akan tetapi, pengalaman lalu membuatkannya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

IKLAN

 

“Kalau ada seru untuk saya ‘settle down’ (berkahwin) saya mahu. Cuma atas apa yang berlaku dulu, buatkan saya lebih berhati-hati. Seterusnya menjadikan proses ke arah itu agak lambat.

“Misalnya kalaulah ada calon yang ajak saya kahwin, saya tidak boleh kata terus setuju. Saya kena pastikan itu dan ini.

“Umur pun sudah berapa dan kalau kahwin selepas ini, ia menjadi perkahwinan ketiga saya,” jelas Erra yang turut menitip harapan dipertemukan jodoh terbaik tiap kali berdoa.

“Antara dalam doa saya, selalu titipkan harapan agar dipertemukan jodoh yang baik dan sebagainya. Maknanya saya berhasrat untuk berjodoh lagi.

“Sebab pada hujungnya pun, anak makin besar dan usia kita juga meningkat. Jadi sudah pasti kita inginkan teman sehidup semati,” katanya yang tidak pernah menutup hati kepada mana-mana lelaki.

Terdahulu, figura jelita ini ditemui pada  majlis pelancaran produk penjagaan rambut Faith Fleur di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Faith Fleur terdiri daripada syampu, pelembap, serum, pewangi dan tonik rambut yang sesuai digunakan untuk lelaki dan wanita serta kanak-kanak berusia enam bulan ke atas.

Produk ini juga mampu mengurangkan masalah kutu, melembutkan rambut, membaiki rambut rosak dan ia juga bebas bahan kimia berbahaya.

Malah hos Mingguan Wanita ini sendiri mengakui telah mencuba produk berkenaan selama beberapa bulan sebelum berpuas hati dengan hasil seterusnya bersetuju menggalas amanah sebagai wajah wakilan produk berkenaan.