Setelah sekian lama menyepi selepas pemergian arwah suami, Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari menitipkan kata-kata luahan perasaan menerusi sebuah video berjudul Dear Love.

Video yang dikongsikan di laman Youtube miliknya mendapat tontonan lebih 2 juta kurang daripada dua hari dimuat naik.

Penyanyi Wanita Terbahagia yang lebih senang dipanggil BCL ini mengimbau kembali saat-saat manis bersama suami terutama ketika menyambut Aidilfitri tahun lalu.

Jelasnya, dia sama sekali tidak menyangka itu merupakan Aidilfitri terakhir mereka bersama.

IKLAN

Malah perbincangan bersama bagaimana seharusnya diaturkan hidangan buat tetamu dan takbir di malam raya bersama Noah menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

BCL turut berkongsi bagaimana perayaan pada tahun ini dilaksanakan tanpa suami di sisi dan menyifatkan ia sangat berbeza. Tambahnya di sebalik dugaan besar yang tertimpa, dirinya sangat bersyukur dikurniakan insan sekeliling yang cukup prihatin bagi memastikan dia dan Noah menemui kebahagiaan baru.

Namun dia tetap meneruskan tradisi sambutan lebaran seperti sewaktu Ashraf masih hidup bagi memudahkan anaknya, Noah menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.

Malah kata BCL, ibu mertuanya sudah lebih dua bulan tinggal bersama bagi menemani mereka berdua selepas pemergian Ashraf.

Pasangan ini berkahwin pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair.

Allahyarham meninggal dunia pada 18 Februari lalu akibat serangan jantung.

Foto : Instagram BCL