Kata orang, tuntulah ilmu sampai ke negeri China. Kenyataan sedemikian nyata tepat buat penyanyi, Dr. Soo Wincci yang melakar sukses tersendiri dengan memperolehi empat ijazah dan satu PhD setakat ini.

Semuanya dilakukan bintang cantik ini dalam tempoh 15 tahun menuntut ilmu dan usaha yang tanpa jemu. Nyatanya, apa yang dicapainya kini pastinya boleh memberi inspirasi buat semua.

Jika sebelum ini ramai yang sedia maklum bahawa bekas ratu cantik ini turut sama mengamalkan puas sepanjang Ramadan sejak beberapa tahun lalu, kali ini kejayaannya yang menamatkan pengajian ijazah kedua, Master in Music Production, Technology & Innovation dan Post Master Fellowship Degree in Live Music Production di Berklee Valencia, Sepanyol menjadi perhatian ramai.

Malah, kisah kejayaannya itu turut menjadi bahan berita di setiap media cetak dan elektronik tempatan sementelah Wincce turut berkongsi beberapa keratan artikel mengenainya.

 

“Daripada seorang artis yang hanya fokus dalam persembahan kepada penerbit yang perlu dilengkapi dengan ilmu teknologi, ia merupakan satu langkah yang amat besar yang perlu diambil.

“Selain itu, dengan tahap yang tinggi dan latihan yang bertubi-tubi, Wincci hampir putus asa. Tapi dengan keazaman dan kerja keras, pada tahun lalu iaitu 2018, Wincci berjaya mendapatkan ijazah sarjana yang kedua di sini,” ujarnya seperti yang dipetik Sinar Harian.

“Wincci akan membina kedudukan yang lebih baik di Sepanyol dan dalam masa yang sama akan terbang berulang alik ke Asia untuk rakaman TV dan persembahan.

“Wincci berharap ini akan menjadi sumber inspirasi kepada semua agar terus belajar dan teruskan perjalanan impian semua,” katanya lagi seperti yang dipetik.

Lebih membanggakan, dia menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR). Pengiktirafan berkenaan ialah Most Numbers of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Numbers of Academic Degress Obtained by A Recording Artist.

Selain dua ijazah sarjana di Sepanyol, Wincci turut memiliki Ijazah Undang-Undang dari University of Reading, UK; Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari University of Sunshine Coast, Australia; Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia.

Foto: Instagram Dr. Soo Wincci